Wednesday, August 12, 2009

Dakwah Talk......





Alhamdulillah pada 9 ogos 09 lepas satu program seminar pembentangan kertas kerja mengenai senario murtad di Malaysia, Asas ajaran hindu, buddha, dan kristian sebagai perbandingan di Malaysia

Terigat kata-kata ust Ann Wan Seng "sejak kebelakangan ini fenomena tayangan cerita seram amat berleluasa dan menjadi- jadi cotohnya Jangan Pandang Belakang, Jangan Tegur, dan lain-lain. Maka saya telah memilih tajuk bku Murtad, Jangan Pandang Sebelah Mata" katanya berseloroh.

Secara ringkas kertas kerja daripada ustaz Ann Wan Seng untuk tatapan kita bersama :





SENARIO MURTAD: ASAS AJARAN BUDDHA SEBAGAI PERBANDINGAN AGAMA DI MALAYSIA

OLEH

ANN WAN SENG
SETIAUSAHA AGUNG KEHORMAT MACMA

1.PENGENALAN

Kejadian murtad yang berlaku di kalangan umat Islam bukan merupakan satu perkara yang baru. Fenomena dan masalah tersebut telah berlaku pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. Namun begitu, senario kemurtadan pada zaman nabi dengan apa yang berlaku kini mempunyai perbezaannya. Kemurtadan pada zaman nabi adalah disebabkan oleh sifat munafik pada segelintir penganut Islam yang berpura-pura menganut Islam untuk merosakkan saha dan perjuangan nabi secara halus. Masalah murtad yang berlaku pada hari ini nampaknya lebih serius lagi kerana ia bukan sahaja berlaku di kalangan saudara baru/muslim yakni golongan yang baru memeluk Islam tetapi juga mereka yang lahir sebagai seorang Islam.

Kejadian murtad yang membabitkan gadis-gadis Melayu/Islam telah mendapat sorotan yang cukup meluas berbanding dengan golongan saudara baru/muslim yang bertindak keluar Islam dengan kembali semula kepada agama asalnya atau menganut agama yang lain. Masalah murtad seharusnya dipandang secara serius tidak kira siapa golongan yang terlibat. Ini kerana murtad merupakan permasalahan yang serius yang berkaitan dengan hakisan dan kerosakan akidah. Jadi sudah sewajarnya ia diberikan perhatian dan ditangani secara bersungguh-sungguh. Faktor-faktor yang menjadi penyebab kepada murtad perlu dicari. Begitu juga dengan penyelesaiannya.

Umat Islam perlu menerima hakikat bahawa sekarang ini wujud gelombang kebangkitan yang kuat pada agama-agama lain yang berusaha untuk menyebar dan menebarkan pengaruhnya kepada umat Islam. Perhatian selalu diberikan kepaa gerakan Kristianisasi sehingga menyebabkan kita lupa bahawa agama-agama lain seperti Hindu dan Buddha juga sedang giat untuk mencari penganut-penganut yang baru tidak terkecuali di kalangan orang Islam. Cara mereka bergerak dan bergiat ialah secara senyap-senyap sehingga tidak disedari oleh umat Islam. Penyebaran agama tersebut dibuat di dalam bentuk yang tidak formal dan non konvensional tetapi meninggalkan kesan yang mendalam. Kaedah yang digunakan ialah mempromosikan ajaran agamanya di dalam bentuk-bentuk yang sekari dengan kehendak dan tuntutan fitrah manusia.

2.PERKEMBANGAN AJARAN BUDDHA DI MALAYSIA

Agama atau ajaran Buddha selalunya dikaitkan dengan orang Cina tanpa kita menyedari bahawa Buddha merupakan di antara salah satu agama yang amat berpengaruh dan luas penyebarannya. Malaysia sebenarnya berjiran dengan negara-negara yang berpegang kuat kepada ajaran Buddha. Di antara negara-negara itu ialah Thailand, Laos, Kemboja, Myammar dan Vietnam. Sebab itulah, Buddha daripada aliran Hinayana amat popular di kalangan penganutnya sama orang Cina, India dan sebagainya di Malaysia. Ramai orang Cina mengikut aliran ini dan ia telah menjadi satu fenomena yang di kalangan penganut Buddha di negara ini. Aliran ini menjadikan Buddha sebagai pusat pemujaannya. Malahan apa yang berlaku kini ialah sami-sami dijadikan sebagai ikon dan simbol pemujaan yang mewakili Buddha. Sami-sami ini dikatakan memiliki kuasa dan kemampuan tertentu untuk mengatasi masalah yang dihadapi oleh manusia. Tidak setakat itu, pemujaan juga dilakukan kepada sami-sami yang telah meninggal dunia. Ini dilakukan dengan pemakaian zaimat dan tangkal yang mengandungi patung atau wajah Buddha dan sami-sami berkenaan.

Selain aliran Hinayana, satu lagi aliran yang mendapat tempat di kalangan orang Cina ialah Mahayana. Mengikut aliran ini, Buddha dipercayai boleh menjelma di dalam pelbagai bentuk. Sebab itulah, ikon pemujaan tidak tertumpu kepada Buddha semata-mata tetapi kepada dewa-dewi tertentu yang dianggap sebagai jelmaan atau mewakili Buddha. Terdapat satu aliran Buddha yang semakin popular di kalangan orang Cina ialah mazhab Buddha Jepun yang dikenali sebagai Nicheren Shoshu atau Soka Gakai. Aliran ini amat popular dan diminati oleh golongan anak-anak muda, remaja dan pelajar sekolah kerana penyebarannya dilakukan melalui aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan kemasyarakatan.

3.MODUS OPERANDI DAN PENYEBARAN AJARAN BUDDHA

Seperti mana agama Kristian, penyebaran ajaran Buddha dibuat melalui kegiatan pendidikan dan kebajikan. Tetapi modus operandi yang digunakan oleh persatuan-persatuan Buddha jauh lebih agresif berbanding dengan agama-agama lain. Terdapat dua persatuan Buddha yang paling aktif dan semakin meningkat pengaruhnya di Malaysia ialah Persatuan Buddha Amitabha dan Persatuan Buddha Tsu Chi yang merupakan persatuan yang kaya dan kuat daripada kewangan di dunia berbanding dengan pertubuhan agama yang lain. Kedua-dua persatuan begitu giat menghasilkan penerbitan yang diberi dan disebarkan secara percuma kepada orang lain. Ini dilakukan melalui rangkaian restroren-restoren vegetarian yang dibuka oleh para pengikutnya. Penerbitan itu juga disampaikan kepada orang ramai termasuk umat Islam melalui lawatan dan ziarah berkala yang dilakukan di hospital-hospital.

Mereka juga bergiat di dalam pendidikan dengan menawarkan pembelajaran secara percuma kepada golongan kanak-kanak dan dewasa. Begitu juga dengan pusat-pusat tuisyen dibuka kepada semua golongan tanpa mengira kaum. Di Cheras pula, Persatuan Buddha Tsu Chi telah mengendalikan satu pusat pendidikan untuk anak-anak pelarian Rohinnya yang beragama Islam. Daripada maklumat yang dikumpulkan oleh pihak PERKIM didapati ia menjadi memasukkan ajaran Buddha sebagai salah satu bahan pengajaran. Justeru itu, timbul kekhuatiran anak-anak pelarian Rohinnya ditanamkan dengan doktrin ajaran Buddha sebelum dihantar ke negara-negara lain di bawah program UNHCR. Dengan dokongan dan sokongan kewangan yang kuat, persatuan-persatuan Buddha ini juga memberikan rawatan dan perkhidmatan percuma kepada orang ramai.

Berbeza dengan Persatuan Soka Gakkai yang banyak menumpukan perhatian kepada kegiatan-kegiatan sosial, riadah, sukan dan pembangunan remaja. Pertubuhan ini menjalinkan hubungan yang rapat dengan pihak kerajaan dan sering kali membabitkan diri di dalam program-program yang dianjurkan oleh pihak yang berwajib. Pada masa yang sama, kelas-kelas pengajian dijalankan untuk menguatkan kefahaman para pengikutnya terhadap ajaran aliran Buddha tersebut.

4.KESIMPULAN

Berdasarkan kepada usaha-usaha yang diaturkan oleh pertubuhan dan persatuan Buddha ini maka ia sepatutnya menimbul serta mencetuskan satu kesedaran umat Islam supaya membabitkan diri sama ada secara langsung atau tidak langsung di dalam usaha-usaha dakwah Islamiah. Umat Islam perlu mempelajari kaedah yang digunakan oleh pihak-pihak yang disebutkan supaya langkah-langkah yang lebih komnprehensif dapat diambil untuk membendung umat Islam daripada terpengrauh dan terjebak ke dalam ajaran dan agama lain.
Jamuan ringan bersama Ust Ann Wan Seng selepas program

No comments:

Post a Comment